fbpx

Ramadan pertama sebagai yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HAZIQ melihat gambar kenangan bersama ibu, ayah dan adiknya di telefon bimbit bagi mengubat rindu terhadap mereka.

KULIM – Seorang kanak-kanak lelaki yang terselamat dalam kemalangan ngeri di Simpang Pulai, Ipoh pada Ogos tahun lalu sayu apabila terpaksa menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tanpa ibu bapa tersayang.

Muhammad Haziq Zikri Mohd. Zairul, 10, bergelar yatim piatu selepas ibu bapanya iaitu Mohd. Zairul Mat Isa, 34, dan Noratiqah Abd. Hamid, 30, maut dalam kemalangan tersebut.

Bertambah pilu apabila adik­nya, Nur Qaseh Damia serta nenek mereka, Fatimah Mat Isa, 70 turut terkorban dalam kejadian itu.

Cerita Muhammad Haziq, Ramadan kali ini berbeza tanpa empat insan yang sangat disa­yanginya.

“Tahun ini (sambutan) mesti sunyi tanpa mereka.

“Sekarang saya tinggal bersama ibu saudara, (Siti Sarah Mat Isa) di Kampung Badlishah. Kalau tiada kerja sekolah, saya akan bantu ibu saudara di gerai makanan,” katanya ketika ditemui di Kampung Badlishah di sini baru-baru ini.

Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2020/08/12/tujuh-sekeluarga-selamat-dikebumikan/

Menurut kanak-kanak itu, dia belum memikirkan sebarang persiapan hari raya dan mungkin akan menyambutnya di rumah nenek sebelah arwah ibu di Kampung Tok Kangar di Juru, Pulau Pinang.

“Memang sedih apabila ter­kenangkan sambutan raya bersama ibu, ayah, adik dan nenek.

“Tiada lagi kemeriahan ibu yang menyiapkan saya dan adik pada pagi raya. Biasanya ayah bawa saya menunaikan solat sunat hari raya,” katanya.

Selain itu, Muhammad Haziq berkata, dia pasti akan merindui saat-saat gembira bermain bunga api bersama arwah adiknya selain rendang daging air tangan arwah nenek.

Kanak-kanak itu berkata, dia bagaimanapun beruntung kerana mempunyai ibu dan bapa saudara serta nenek sebelah ibu untuk menumpang kasih.

“Saya reda dengan pemergian ibu, ayah dan adik. Saya sentiasa mendoakan mereka,” katanya.

Keratan akhbar Kosmo! tragedi yang menimpa keluarga Muhammad Haziq.

Dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai pada 11 Ogos lalu, seramai tujuh orang daripada dua keluarga maut selepas kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler.

Turut maut ialah sepupu Mohd. Zairul, Hasliza Mahmud, 40, dan suaminya, Zulkifli Shuib, 49, serta anak mereka, Mohd. Alif Firdaus, 3.

Kesemua mangsa tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Badlishah selepas bercuti di Cameron Highlands, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI