fbpx

PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sekolah Menengah Sains Banting di Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok sehingga 7 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 473 ujian saringan dan daripada jumlah itu 71 orang pelajar disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut menasihati negeri-negeri yang ingin membuat keputusan penutupan sekolah sama ada secara keseluruhan atau sebahagian berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

“Kita tahu kebimbangan ibu bapa dan kebimbangan pada peringkat negeri tetapi lebih baik berbincang dengan Kementerian Pendidikan yang akan mendapatkan nasihat KKM.

“KKM yang akan memberi nasihat berdasrkan penilaian risiko dalam apa jua keputusan berhubung perkara tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Lahad Datu, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 8 Mei ini.

Katanya, KKM mengesahkan bilangan kes menunjukkan peningkatan signifikan pada minggu ke-15 dengan sejumlah 128 kes Covid-19 dilaporkan iaitu melonjak 175.3 peratus berbanding minggu ke-14.

Beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian dan Politeknik Mukah di Mukah, Sarawak sehingga 8 Mei dengan masing-masing mencatatkan 96 kes dan 241 kes positif Covid-19.

Dalam pada itu beliau mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Bukit Belacon, Segama, Lahad Datu, Sabah esok mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, KKM telah melaksanakan 148 ujian saringan dengan sebanyak 11 kes positif Covid-19 telah direkodkan manakala baki kes aktif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI