KOTA BHARU – Kedai colek di sekitar daerah ini yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada musim Ramadan seolah-olah ‘dilupakan’ tanpa kehadiran pengunjung.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gerai-gerai popular yang menjual colek di Jalan Dato Lundang dan Kampung Cherang di sini tidak mendapat sambutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula 16 April lalu.
Keadaan itu menyebabkan pesta makan colek yang meriah suatu ketika dahulu bertukar sendu khususnya selepas selesai solat tarawih.
Pemilik premis Zila Pohon Ceri, Ramly Muhammad, 39, mengakui, jualan colek dipremisnya turun mendadak sebanyak sebanyak 80 peratus sejak PKP dikuatkuasakan.
Menurutnya, dia juga terpaksa memulangkan wang tempahan pelanggan bernilai RM5,000 susulan perlaksanaan PKP.
“Perniagaan ketika ini bergantung sepenuhnya jualan secara bungkus selepas semua premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam sepanjang Ramadan.
“Situasi itu menyebabkan perniagaan saya menjadi perlahan,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga colek.
Ramly memberitahu, dia kini buntu memikirkan nasib perniagaannya selepas menghabiskan modal sebanyak RM18,000 untuk beroperasi sepanjang Ramadan ini.
Seorang lagi peniaga colek, Nordin Awang, 59, merayu kepada pihak kerajaan supaya melanjutkan tempoh perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam.
Kata pemilik Warong Nasi Ulam di Kampung Cherang itu, perniagaannya merosot sebanyak 50 peratus kesan perlaksanaan PKP.
“Biasanya saya jual colek bermula pukul 8 malam. Dalam tempoh PKP ini, saya terpaksa jual colek pada pukul 2 petang.
“Meskipun agak janggal, ini sahaja pilihan terbaik bagi memastikan perniagaan colek di bulan Ramadan terus bernafas,” ujarnya.