BIRMINGHAM – Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi semalam.
Villa mendahului perlawanan ketika permainan berusia 20 saat menerusi John McGinn, namun City memastikan tiga mata milik mereka hasil jaringan Phil Foden dan Rodrigo.
Pengurus City, Pep Guardiola menganggap kemenangan itu sangat penting kerana kembali mengukuhkan cengkaman di persada liga selain hanya memerlukan lapan mata lagi untuk menjulang kejuaraan.
“Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan apabila turun pada perlawanan seperti hari ini (semalam), jadi ia adalah kemenangan penting untuk kami.
“Kami hanya ada baki lima perlawanan liga, jadi kemenangan ini boleh dianggap sebagai pembakar semangat buat semua pemain ke arah gelaran liga,” kata Guardiola.
Selepas dua kekalahan kepada Leeds United dan Chelsea sebelum ini, beliau mengakui lega dengan kemenangan tersebut, lebih-lebih lagi menjelang final Piala Liga England (EFL) menentang Tottenham Hotspur Ahad ini.
“Semua pemain sangat komited pada perlawanan ini selepas kekalahan kepada Leeds dan Chelsea. Ini adalah suntikan semangat untuk aksi EFL dan Liga Juara-Juara nanti,” ujarnya. – AGENSI