SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen hari ini menolak pengakuan bersalah seorang bekas pegawai penyelenggaraan atas pertuduhan pilihan melakukan pemerasan ugut terhadap seorang lelaki, empat tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh menolak pengakuan tertuduh, Azhar Arifin,56, selepas fakta kes yang dikemukan pihak pendakwaan tidak diakui.
Terdahulu, bapa kepada seorang anak itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Rozilah.
Berdasarkan pertuduhan utama, Azhar telah secara rasuah menerima suapan wang tunai berjumlah RM50,000 daripada seorang lelaki sebagai satu dorongan menutup kes rasuah lelaki berkenaan yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ).
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Tertuduh juga didakwa pertuduhan pilihan melakukan pemerasan hingga mendatangkan ketakutan kepada lelaki sama iaitu penahanan bagi kesalahan rasuah seterusnya mendorong lelaki itu menyerahkan RM50,000 kepada tertuduh.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM8,000 bersama penjamin dan syarat tambahan pasport serah mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.
Azhar tidak diwakili peguam memohon ikat jamin dikurangkan kerana mempunyai penyakit jantung, darah tinggi dan batu karang.
“Saya juga telah diberhentikan kerja sejak tiga bulan lalu kerana kekerapan menerima rawatan dengan isteri menjadi penanggung tunggal,” jelasnya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 20 Mei depan. – K! ONLINE