KLANG – Mah Sing Group Bhd. (Mah Sing) mengunjurkan untuk menjadi lima pengeluar terbesar sarung tangan di Malaysia pada masa depan.
Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Huy Kum berkata, pihaknya optimis untuk mencapai sasaran tersebut kerana memiliki mesin dan jentera terkini yang mampu menghasilkan 38,000 keping sarung tangan dalam tempoh satu jam.
“Mesin ini dijangka menghasilkan sehingga 3.68 bilion keping sarung tangan setahun, yang melibatkan 12 barisan pengeluaran pada fasa pertama.
“Ia akan beroperasi bulan Mei dan kami menjangkakan penghantaran pertama kepada pelanggan pada bulan sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Mah Sing Healthcare di Lorong Sungai Puloh, di sini semalam.
Huy Kum menjelaskan, Kumpulan telah mendapat pembeli daripada Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Rusia dan beberapa negara lain.
“Kami menjangkakan permintaan sarung tangan getah meningkat antara 12 hingga 15 peratus setahun,” katanya.
Sekiranya mendapat lebih banyak permintaan, Huy Kum menerangkan, pihaknya akan melaksanakan fasa kedua pengeluaran sarung tangan getah yang melibatkan 12 lagi barisan pengeluaran.