fbpx

Lagi 20 barangan akan ditambah dalam SHMMP 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander

PUTRAJAYA – Senarai 12 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanyalah peringkat pertama skim tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sudah memaklumkan sebelum ini bahawa jumlah barangan dalam senarai SHMMP akan ditambah dari semasa ke semasa menjelang Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, kira-kira 20 jenis barangan lain akan ditambah di bawah SHMMP menjadikan keseluruhan barangan termasuk senarai sedia ada berjumlah lebih daripada 30.

“Kementerian akan umum tambahan lagi barangan yang berkemungkinan (menjadikan) 32 ke 33 barang secara keseluruhan.

“Memang lebih daripada 30 barang yang dikenal pasti termasuk 12 yang sudah diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di KPDNHEP hari ini.

Alexander berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempersoal SHMMP Hari Raya Puasa 2021 yang didakwa menyenaraikan hanya 12 barangan.

Sementara itu, Alexander berkata, senarai itu masih belum diumumkan kerana tiada tekanan terhadap harga barangan terbabit buat masa ini.

“Kementerian tidak tergesa-gesa untuk berbuat demikian dengan mengambil kira nasib golongan peniaga.

“Kita pun nak kena adil kepada peniaga dan beri mereka peluang sebab kalau sekat dari sekarang ketika tiada keperluan, ia akan jadi masalah kepada peniaga nanti,” katanya.

Pada 19 April lalu, Alexander menerusi sidang akhbar pengumuman SHMMP Hari Raya Puasa 2021 berkata, KPDNHEP akan mengumumkan 20 lagi barangan yang akan ditambah dalam skim tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan memperhalusi perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengenal pasti barangan yang akan ditambah itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI