TAMPIN – Masjid Bangkahulu, di sini ditutup kira-kira dua minggu susulan pengesanan kes positif Covid-19 membabitkan imam masjid berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, kerja-kerja sanitasi oleh pasukan bomba telah dijalankan pada 16 April lalu selepas pengesanan dibuat.
Difahamkan, individu yang menjadi kontak rapat bagi kes berkenaan kini menjalani proses kuarantin dan diberikan bantuan makanan keperluan harian oleh pemimpin setempat.
Susulan itu, mengikut data yang dikongsikan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kluster baharu di negeri ini semalam membabitkan aktiviti keagamaan di daerah Tampin dan Seremban iaitu Kluster Bangkahulu.
Menurut data berkenaan, kes indeks berkenaan membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang dikesan positif Covid-19 pada 16 April hasil saringan individu bergejala.
“Kes mula bergejala pada 7 April lalu. Sehingga semalam seramai 29 individu telah disaring di mana 11 daripadanya disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE