fbpx

ESL goncangkan bola sepak Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peminat di England melakukan protes untuk menghalang pasukan mereka menyertai saingan ESL sebelum akhirnya saingan tersebut ditunda ekoran penarikan diri enam pasukan dari Liga Perdana Inggeris. - AFP

MINGGU ini, dunia bola sepak khususnya di Eropah digoncangkan dengan isu penganjuran Liga Super Eropah (ESL) yang mencetuskan polemik hangat.

Segalanya bermula apabila Presiden ESL yang dilantik, Florentino Perez mengumumkan mengenai penganjuran pertandingan bola sepak baharu melibatkan 12 pasukan gergasi bola sepak Eropah iaitu enam pasukan dari England, tiga dari Itali manakala selebihnya dari Sepanyol.

Kartel berkenaan melibatkan Manchester United, Manchester City, Arsenal, Chelsea, Tottenham Hotspur, Liverpool, AC Milan, Inter Milan, Juventus, Real Madrid, Atletico Madrid dan Barcelona.

Ia nyata mengejutkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang menuduh penganjurannya bertujuan untuk membunuh prestij Liga Juara-Juara.

Bagi sesetengah peminat bola sepak di luar Eropah, ia pastinya pertandingan yang sangat mengujakan kerana mengumpulkan kuasa-kuasa besar bola sepak dunia dalam sebuah kejohanan menggunakan format liga dan menjanjikan kehangatan luar biasa.

Namun, bagi penyokong bola sepak di Eropah khususnya dari England, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat, malah penyokong enam kelab Liga Perdana Inggeris itu turun ke jalan raya mengadakan protes keras terhadap penganjurannya.

Akhirnya, para peminat dan penyokong membuktikan bahawa kuasa mereka juga cukup dominan sehingga membuatkan semua pasukan dari England menarik diri daripada saingan ESL.

Apakah signifikan kewujudan pertandingan ESL ini? Jawapannya mudah, ia adalah kerana wang.

Pasukan-pasukan gergasi Eropah terutama ketika pandemik Covid-19 yang masih melanda berdepan masalah aliran tunai menyebabkan mereka memerlukan sejumlah wang yang banyak untuk menanggung pelbagai kos termasuk gaji para pemain.

Penganjur ESL tampil dengan tawaran bahawa pasukan yang terlibat dijanjikan bayaran yang cukup lumayan untuk menyertainya.

Penganjur memperuntukkan sejumlah £3 bilion (RM17.15 bilion) yang akan diagihkan untuk 12 pasukan berkenaan termasuk tiga lagi pasukan yang dikategorikan sebagai pasukan jemputan.

Namun, kelab-kelab berkenaan tidaklah mendapat jumlah agihan bayaran yang sama tetapi ia dipercayai sekitar antara £89 juta (RM508.76 juta) hingga £310 juta (RM1.7 bilion) bakal diterima mereka.

Jumlah itu dikatakan berganda-ganda lebih besar daripada bayaran yang mereka terima sekiranya terus kekal dalam saingan Liga Juara-Juara.

Biarpun terpaksa ditangguhkan, penganjur ESL percaya bahawa ia adalah sebuah wadah yang mampu memberikan kelainan tetapi sentimen yang wujud ketika ini membuatkan mereka perlu melupakan seketika kertas cadangan itu.

Sesetengah yang lain pula berpendapat, cadangan ESL ini adalah satu plot yang dirancang untuk memberi kejutan kepada UEFA selaku penganjur Liga Juara-Juara untuk menambah baik kejohanan itu termasuk dari aspek format dan hadiah wang kemenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI