fbpx

Awie Raikan Cinta Ramadan, ubati kerinduan teruji pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN WINGS

SETELAH lebih setahun tidak bertemu peminat, vokalis rock terkemuka tanah air, Datuk Awie tidak sabar untuk mengubati kerinduan mereka menerusi penganjuran Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan.
Persembahan tersebut dianjurkan oleh Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading dan akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 April bertempat di Hotel Lacrista, Melaka bersama iringan pemuzik undangan.

Sementara persembahan kedua akan diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada tanggal 1 Mei depan. Istimewanya, persembahan tersebut menampilkan Awie akan muncul bersama-sama Wings dalam Showcase Wings Raikan Ramadan untuk menghiburkan peminat mereka.

Pengurus Projek, Mubarak Akhtar atau Hatta berkata, bagi mengambil keberkatan bulan suci Ramadan, Awie akan mendendangkan beberapa buah lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian.

Malah, persembahan selama satu jam setengah tersebut juga akan membangkitkan suasana hari raya dengan rangkaian lagu-lagu raya terbaik termasuklah lagu-lagu solo Awie serta lagu popular kumpulan Wings.

“Konsep persembahan pada malam itu menerapkan ciri kampung. Bukan sahaja dari sudut dekorasi tetapi juga untuk juadah yang dihidangkan kepada peminat.

“Selain persembahan, acara pada malam berkenaan juga akan diisi dengan aktiviti kerohanian. Kita akan memulakan acara dengan sesi tazkirah sebelum majlis berbuka puasa selain membawa penceramah terkenal.

BIARPUN perancangan persembahan Awie dan Wings dilakukan pada saat akhir, namun mereka percaya dengan sokongan padu daripada kumpulan peminat.

 

“Diikuti pula dengan majlis berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih. Selepas itu barulah kami akan membuat persembahan yang dijangka bermula sekitar pukul 9.30 malam.

“Selain untuk mengubati kerinduan peminat yang sudah lama tidak melihat Awie beraksi, persembahan pada malam tersebut juga dapat menghilangkan kesedihan peminat yang tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi meraikan Lebaran bersama ibu bapa serta sanak-saudara tercinta dengan himpunan lagu raya popular,” kata Hatta.

Bagaimanapun, jumlah penonton terpaksa dihadkan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Persembahan di Melaka hanya menawarkan sebanyak 25 buah meja dengan sekitar 200 penonton, manakala di Kuala Lumpur pula dapat memuatkan 400 penonton dengan 50 buah meja.

Menurut Hatta lagi, rancangan untuk mengadakan persembahan tersebut baru sahaja dirancang pada 12 April lalu. Mengakui agak terburu-buru, namun dia yakin dengan kekuatan dan sokongan daripada Sayap-Sayap Wings, acara berkenaan akan berjaya.

“Ada juga yang bertanya kenapa mesti Wings, bukannya artis lain. Tetapi tidak ramai yang mempunyai fikiran seperti Awie. Kami cuba mengelak daripada meminta-minta untuk mengadakan persembahan ini, kebetulan Wings ada saluran dan pengikut yang tersendiri.

“Mereka ada pengikut tegar iaitu Sayap-Sayap Wings yang boleh membantu jualan meja. Ikatan persaudaraan mereka kuat dan sangat komited dalam melaksanakan sesuatu perkara,” jelasnya.

Patuh SOP

Selepas beberapa siri persembahan yang dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan berikutan Covid-19, Awie mengakui sudah tidak sabar untuk bertentang mata dengan peminatnya.

Penyanyi itu berjanji memberikan persembahan yang santai dan menenangkan buat peminatnya.

“Saya akan menampilkan persembahan yang paling santai dan sedap di halwa telinga pendengar. Peminat datang untuk menikmati juadah berbuka puasa sambil menonton persembahan, jadi mereka tentunya mahukan muzik yang boleh memberikan ketenangan, bukannya yang membuatkan telinga bingit.

“Untuk persembahan di Kuala Lumpur nanti, saya bersama-sama dengan anggota Wings akan tampil secara akustik. Mengenai gimik atau keistimewaan lain pada dua malam berkenaan, kenalah tunggu sehingga malam itu,” katanya.

SELEPAS beberapa siri persembahan yang dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan berikutan Covid-19, Awie mengakui sudah tidak sabar untuk bertentang mata dengan peminatnya.

Tambah Awie, keputusan untuk mengadakan persembahan selama dua hari memang dilakukan dalam tempoh yang cukup singkat.

Pun begitu ujarnya, biar apa pun yang terjadi, hidup harus diteruskan walaupun golongan seni antara yang terjejas teruk sejak penularan Covid-19.

Akuinya, penggiat seni antara golongan yang terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu. Bagaimanapun mereka tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu terus bekerja keras kerana mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung.

“Saya memegang prinsip hidup harus diteruskan. Kami dah ditentukan Allah untuk menjadi pemuzik, penyanyi dan penghibur. Jadi, mahu atau tidak, kami perlu bekerja. Melalui penganjuran acara ini, sekurang-kurangnya dapatlah kami membantu pemuzik, pengurus acara dan mereka yang terbabit dalam industri secara tidak langsung.

“Memang tidak dinafikan, pendapatan kami terjejas dengan teruk sepanjang pandemik. Biarpun kes harian tidak menentu tetapi persembahan tetap perlu diteruskan. Paling penting adalah dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, asalkan tidak menyalahi undang-undang.

“Jika hendak diikutkan rasa takut, sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja. Apa yang penting setiap orang yang terlibat perlu menjalankan tanggungjawab dengan mengikut SOP,” kata Awie.

Harga meja bagi acara di kedua-dua buah lokasi terbahagi kepada beberapa kategori daripada RM2800 sehingga RM8,000 termasuk pakej berbuka puasa, baju-T, beg cenderahati dan bilik penginapan. Hubungi HS Shazlicious di talian 019-7695588 atau 03-26151000 (Hotel Premiera) dan 06-2816868 (Hotel La Crista). Maklumat lanjut boleh hubungi Zul Sayap Sayap Wings (0102480106).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI