PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat kepada RM29 bilion menjelang tahun 2030 menerusi Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerangka pelan itu merupakan agenda baharu negara yang akan menjadi rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri tersebut dapat dibangunkan secara holistik.
“Menyedari nilai strategik industri ini kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara, kita perlulah membangunkan industri ini secara bertanggungjawab dan mampan.
“Dalam hal ini, kerjasama semua pihak yang berkepentingan amatlah diharapkan untuk membangunkan industri ini secara lestari,” katanya ketika berucap melancarkan kerangka pelan itu di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.
Kerangka pelan itu menggariskan lima teras utama merangkumi tadbir urus dan perundangan, pembangunan rantaian nilai industri mineral, inventori dan pemetaan sumber mineral, teknologi dan inovasi serta pembangunan modal insan.
Teras-teras itu diperkukuhkan dengan penyediaan strategi yang menyeluruh serta disokong oleh perancangan pelan tindakan yang bersifat inklusif.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi kerjasama dalam bidang pembangunan industri mineral negara iaitu di antara Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dengan syarikat Ranhill Berhad dan di antara JMG dengan Malaysian Chamber of Mines (MCOM). -K! ONLINE