PETALING JAYA – Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, Johor bermula esok sehingga 6 Mei 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di sekolah tersebut.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 228 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 13 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri turut memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Maahad Tahfiz Al-Quran, Al-Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan bermula esok sehingga 6 Mei 2021 berikutan terdapat peningkatan kes secara mendadak.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 46 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 28 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan mengumumkan PKPD di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Taman Permata dan Taman Seri Labuk di daerah Sandakan serta Kampung Gayang, Tuaran, Sabah tamat esok seperti yang dijadualkan.
“Kerajaan sebelum ini juga telah melaksanakan PKPD di Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi, Rompin, Pahang yang dijadualkan tamat pada 28 April 2021.
“Bagaimanapun sehingga kini, KKM mengesahkan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan dan kes terakhir dilaporkan ialah pada 15 April 2021. Justeru itu, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD ini pada 23 April, lebih awal dari yang dijadualkan,” ujarnya. – K! ONLINE