ALOR SETAR – Seorang pesawah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM3,000 kepada seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.
Hakim Murtazadi Amran turut memerintahkan tertuduh, Ruzaini A. Halim @ Zakaria, 46, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan, bagaimanapun tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai balasan supaya pegawai polis berpangkat inspektor itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah premis di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim dekat sini kira-kira pukul 5 petang, 28 Februari 2018. – K! ONLINE