SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini minggu lalu dilaporkan meninggal dunia tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam yang memaklumkan pemandu kereta jenis Honda City itu, Lim Song Joo, 43, telah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mendapati dia meninggal dunia kerana kecederaan parah dan kegagalan fungsi organ.
“Sementara itu, pemandu sebuah lagi kereta yang terlibat iaitu pemandu berusia 35 tahun masih dirawat di sebuah hospital swasta, manakala anaknya berusia tiga tahun telah dibenarkan keluar,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam Rabu minggu lalu, empat individu dilaporkan cedera selepas kereta Honda City yang dipandu secara melawan arus bertembung dengan kereta Toyota Corolla Altis dinaiki tiga sekeluarga.
Sebelum itu, Honda City berkenaan bergesel dengan sebuah motosikal Benelli Leoncino dinaiki dua individu, namun mereka tidak cedera kerana sempat mengelak.-K! ONLINE