PUTRAJAYA – Nasib bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan yang penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya lima tahun lalu akan diketahui dalam masa terdekat.
Ia berikutan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan ke tarikh yang ditetapkan kemudian berhubung rayuan hukuman tersebut.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suraya Othman yang mengetuai tiga panel itu berkata mahkamah akan memaklumkan kepada pihak-pihak mengenai tarikh keputusan itu.
“Setelah berbincang, kami memerlukan lebih masa untuk meneliti hujahan sebelum membuat sebarang keputusan. Kita akan memaklumkan tarikh sebenar kepada pihak-pihak dan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Selain hakim Suraya turut bersidang bersama dua lagi panel hakim iaitu Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin.
Mengikut jadual, sepatutnya rayuan kes itu didengar selama tiga hari iaitu bermula hari ini, esok dan Isnin depan namun mahkamah telah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.
Pada 21 Disember tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas Ku Nan didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya lima tahun lalu.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.- K! ONLINE