Oleh NORLIDA AKMAR IDROS, HASLIZA NUSI dan MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PETAING JAYA – Harga ayam dan daging lembu tempatan di kebanyakan negeri masih tinggi biarpun kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di seluruh negara bermula semalam.
Tinjauan Kosmo! di seluruh negara mendapati, ada peniaga yang menjual ayam mencecah RM9 sekilogram berbanding RM7.90 harga maksimum yang ditetapkan SHMMP.
Di Kedah, tinjauan di Pasar Jitra mendapati, selain ayam, harga daging tempatan juga tinggi iaitu RM40 sekilogram. Harga ayam dan daging tempatan itu kekal sejak beberapa hari lalu.
Rata-rata peniaga yang ditemui memberi alasan mereka masih menerima harga yang tinggi daripada pembekal walaupun SHMMP dikuatkuasakan.
Seorang pengguna, Alias Ismail, 47, berkata, dia terkejut dengan harga tinggi itu dan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, di Pasar Borong Kampung Atap, Sungai Petani, kebanyakan peniaga tidak mempedulikan harga yang ditetapkan SHMMP apabila menjual ayam pada harga RM8.30 hingga RM9 sekilogram.
Harga daging lembu tempatan pula dijual RM36 hingga RM38 sekilogram berbanding harga maksimum ditetapkan RM34.
“Kami tiada pilihan, kalau ikut SHMMP untung sedikit,” kata peniaga yang enggan dikenali.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia serta Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Romani Wan Salin berkata, pihaknya mengeluarkan notis kepada dua penternak dan tiga pemborong ayam berikutan kenaikan harga barangan itu.
Di George Town, peniaga daging lembu dihimpit dengan isu kenaikan harga daripada pemborong sehingga terpaksa menjual barang mentah itu pada harga RM38 hingga RM40 sekilogram.
Daging lembu tempatan termasuk dalam senarai 12 barangan harga terkawal di bawah SHMMP Hari Raya 2021 sehingga 20 Mei ini.
Keadaan sama turut berlaku di Johor apabila rata-rata peniaga daging lembu tempatan dan sejuk beku import di Johor Bahru masih menjual pada harga lama dan tidak mengikut SHMMP yang dikuatkuasakan semalam.
Menurut peniaga, Muhammad Lukman Ibrahim, 32, dia terpaksa menjual daging tempatan RM40 sekilogram.
“Bagaimana hendak ikut harga yang ditetapkan (kerajaan), sedangkan harga pembekal lebih tinggi. Kalau ikut harga maksimum, kami akan rugi,” katanya.
Menurutnya, peniaga akan menurunkan harga sekiranya pembekal berbuat demikian.
“Kami harap kerajaan campur tangan dan pantau harga yang ditetapkan pembekal,” katanya.
Bagi peniaga, Mohd. Nadzri Ahmad, 41, mereka bukan sengaja melanggar harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan kerana barang mentah yang diperoleh sudah mahal.
“Takkan kami berniaga nak rugi. Kami boleh berjimat jika beli seekor lembu, tetapi ia mustahil kerana kosnya tinggi,” katanya.
Sebanyak 18 kompaun dikeluarkan kepada peniaga yang ingkar dalam Ops Pantau di Johor sejak 13 April lalu.
Harga terus melambung, kerajaan cadang harga siling
PUTRAJAYA – Kerajaan sedia mempertimbang untuk memperkenalkan harga siling ayam sekiranya harga barang mentah itu terus meningkat selepas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 berakhir pada 20 Mei ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pada ketika ini, harga ayam dikawal di bawah SHMMP.
“Kita boleh memikirkan untuk melaksanakan tindakan ini (harga siling) sekiranya harga ayam kembali meningkat pada satu tahap tidak munasabah.
“Ketika ini harga ayam tertakluk di bawah harga kawalan ketika SHMMP dilaksanakan.
“Jika laksanakan harga siling, kita boleh mengawalnya (harga ayam) sepanjang musim,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Rosol berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menambah permit import (AP) ayam sekiranya penternak masih berdegil menaikkan harga meskipun SHMMP telah dilaksanakan.
Sebagai alternatif jangka panjang, KPDNHEP bercadang mewujudkan stok penimbal ketika musim perayaan bagi memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi selain mengelakkan manipulasi harga atau ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Kita akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebelum melaksanakan alternatif ini,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia menyifatkan cadangan kerajaan mahu mengimport ayam bagi menurunkan harga runcit di Malaysia bakal ‘membunuh’ perniagaan lebih 3,000 penternak tempatan.
Langkah itu dijangka merosakkan industri tempatan memandangkan bekalan ayam sedia ada mencukupi.
Mengulas dakwaan itu, Rosol berkata, kementerian mengakui bekalan ayam mencukupi, namun mempersoalkan harga yang melambung di bulan puasa.
“Kenaikan harga boleh diterima, tetapi kenapa meningkat tiga kali seminggu dan dijual sehingga RM10 sekilogram,” katanya. -K! ONLINE