PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC sentiasa mengutamakan persekitaran yang selamat dan terjamin bagi pengguna dan pelanggan pelabuhannya untuk menjalankan perniagaan.
Ini kerana pelabuhan tersebut menjadi pintu masuk selatan di Malaysia yang akan menyumbang bukan sahaja kepada negara tetapi juga perdagangan global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md. Derick Basir berkata, bagi memastikan keselamatan pelabuhan tersebut dilindungi daripada sebarang potensi ancaman sama ada melalui darat, laut dan udara, pihaknya memerlukan sebuah pasukan keselamatan bersenjata iaitu Polis Bantuan Pelabuhan Johor
Menurutnya, pasukan tersebut melakukan rondaan dan pengawasan 24 jam di semua pintu masuk dan keluar ke pelbagai kemudahan yang terdapat di pelabuhan serta menguatkuasakan peraturan keselamatan pelabuhan serta maritim di perairan Pelabuhan Johor.
“Polis Bantuan Pelabuhan Johor terdiri daripada sepasukan 85 pegawai dan anggota yang mana lima daripadanya adalah wanita.
“Mereka diberi kuasa untuk membawa senjata api dan merupakan responden utama untuk semua jenayah dan insiden yang dilaporkan dalam kawasan bidang kuasanya.
“Selain daripada Latihan Polis Bantuan di Pusat Latihan Polis, pasukan keselamatan bersenjata ini juga menjalani pelbagai latihan kemahiran secara berkala bagi mempertingkatkan prestasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Baru-baru ini, Johor Port telah mengadakan Latihan Menembak dwitahunan di Lapang Sasar Menembak Ladang REM, Kota Tinggi, Johor.
Latihan menembak itu bertujuan meningkatkan kecekapan kemahiran yang lebih tinggi dalam aspek pengendalian dan penggunaan senjata api, meningkatkan kompetensi melalui latihan senjata.