PETALING JAYA – Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad berpendapat bahawa ilmu akademik sahaja tidak mencukupi untuk mendidik anak-anak menjadi manusia berguna dan berjaya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Suhaimi, 40, menyarankan ibu bapa supaya memberikan pendidikan berteraskan agama dan kemahiran untuk anak-anak.
“Saya ajar anak-anak lipat kain baju sendiri. Ajarlah anak dengan ilmu al-Quran, hadis, akhlak dan kemahiran.
“Akademik sahaja tidak cukup untuk menjadikan anak-anak kita manusia yang berguna dan berjaya,” ujarnya.
Akui Suhaimi lagi, dunia niki telah melahirkan ramai golongan cerdik pandai, namun tidak semuanya beradab.
“Dunia hari ini dipenuhi oleh ramai orang yang terpelajar dan berkelulusan, tetapi kekurangan orang yang beradab dan berkemahiran.
“Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurang iman dan amal yang benar di sisi Tuhan,” tulisnya.
Sebelum ini Suhaimi dan isterinya, Nordiana Mat Naim atau Ina Naim,37, pernah mencetuskan buah mulut netizen selepas mengambil keputusan untuk memberhentikan sekolah keempat-empat anaknya.
Difahamkan, kesemua anaknya yang berusia antara 13 hingga tujuh tahun bersekolah di rumah, sementara dia dan isterinya berperanan sebagai guru. -K! ONLINE