PUTATAN – Seorang ibu bersama tujuh anaknya nekad terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran di Kampung Dumpil, Jalan Lok Kawi Lama malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, Sahara Ismail, 35, berserta tujuh anaknya berusia dua hingga 16 tahun terpaksa terjun ke sungai berhampiran dan meredah air sungai setinggi paras paha sebelum diselamatkan penduduk kampung.
Menurut Sahara, semasa kejadian dia sedang tidur dan kemudiannya terjaga kerana mahu membuat susu anak perempuan yang berusia dua tahun.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara orang berteriak dari luar rumah sebelum membuka pintu dan melihat rumah jiran sedang terbakar.
“Dalam keadaan panik, saya terus mengejutkan anak-anak sambil mendukung anak bungsu dan terus terjun ke sungai,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Sahara menyatakan walaupun rumahnya tidak terbakar tetapi dia mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sungai kerana bimbang keselamatan anak-anaknya.
“Syukur semua anak saya selamat namun badan kami semua berlumpur kerana meredah air sungai. Nasib baik ketika itu air surut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.20 malam.
“Kebakaran itu melibatkan 17 hingga 20 keluarga, api berjaya dikawal pada pukul 12.20 tengah malam,” katanya.-K! ONLINE