PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah merayu agar kerajaan memberi kelonggaran kepada atlet yang baru pulang dari luar negara dengan menjalani kuarantin di rumah agar mereka dapat meneruskan latihan seperti biasa.
Hafizh yang baru tiba di Malaysia daripada menyertai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Portugal minggu lalu terpaksa menjalani kuarantin wajib meskipun telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.
“Seronok tengok atlet Eropah yang balik dari menyertai perlumbaan terus menjalani latihan. Tiada kuarantin sebab mereka telah menjalani ujian dan negatif sebelum tiba ke rumah.
“Sebab itu kebanyakan atlet Eropah lebih berjaya daripada kita kerana negara mereka faham tentang atlet. Kita tidak minta pun dilayan seperti orang atasan ataupun raja, tetapi biarlah ada kelonggaran buat atlet jalani latihan atau kuarantin di rumah.
“Tujuan kita balik bukan untuk seronok-seronok seperti orang biasa tetapi atas sebab-sebab tertentu. Kos di Eropah sangat tinggi, bila atlet tidak pamerkan aksi terbaik kita juga kena kritik,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram miliknya semalam.
Katanya, menjalani kuarantin di hotel membataskan pergerakan atlet, sekali gus menyukarkannya untuk melakukan persiapan menjelang perlumbaan keempat di Grand Prix Sepanyol yang membuka tirai pada 2 Mei nanti.
“Campak atlet ke hotel kuarantin lepas itu ada perlumbaan minggu depan, apa yang atlet boleh buat dalam hotel seminggu? Tidur makan sahaja, nak tingkatkan prestasi jauh lagi jawabnya. Kalau di rumah ada segala peralatan untuk jalani latihan,” ujarnya.
Difahamkan, ketika ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membantu Hafizh untuk mendapat kebenaran untuknya menjalani latihan di rumah.