JOHOR BAHRU – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang yang diketuai ahli perniagaan buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Menurut sumber, pegawai yang ditahan itu berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Difahamkan, suspek memegang jawatan sebagai ketua bahagian di salah sebuah jabatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur.
Pegawai kanan berkenaan yang melaporkan diri bertugas di IPD tersebut pada Januari lalu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Pada 14 Mac lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lebih ramai lagi pegawai dan anggota keselamatan akan diberkas bagi membantu siasatan kes Geng Nicky.
Ayob Khan akan mengulas lanjut pada sidang akhbar di IPK Johor tengah hari ini.-K! ONLINE