LONDON – Penyerang Manchester City, Sergio Aguero dilaporkan sudah memberitahu rakan-rakan karib dan ahli keluarganya bahawa karier bola sepaknya selepas ini akan bersambung di Barcelona bermula musim depan.
Bulan lalu, Aguero mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan Etihad penghujung musim ini selepas 10 tahun menabur khidmat termasuk meledak 257 gol dalam 385 perlawanan dan hampir pasti menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali kelima bersama kelab itu.
Keputusan yang dibuat oleh penggempur dari Argentina itu menyebabkan spekulasi mengenai destinasi seterusnya bertiup kencang termasuk terus kekal di England apabila beberapa kelab seperti Tottenham Hotspur, Chelsea dan Leeds United berminat untuk mendapatkannya.
Bagaimanapun, dia kuat dikaitkan dengan kepulangan semula ke Sepanyol selepas memulakan karier bersama Atletico Madrid pada 2006 hingga 2011 dengan membuat 230 penampilan dan menjaringkan 100 gol.
Kali ini, Madrid bukan lagi pilihan sebaliknya Aguero berubah angin untuk kembali memulakan kariernya di Sepanyol dengan memilih Camp Nou.
Rundingan antara ejen pemain itu dan Barcelona dikatakan semakin hampir menemui kata putus dengan kontrak dua tahun bakal ditandatangani membolehkannya kekal beraksi sehingga berusia 35 tahun yang mungkin menjadi penamat terbaik dalam kariernya.
Barcelona dipercayai terdesak untuk mendapatkan khidmat Aguero adalah kerana untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Luis Suarez di bahagian serangan selain ia mampu menjadi umpan untuk bintang sensasinya, Lionel Messi terus kekal kerana kedua-dua mereka adalah teman rapat. – AGENSI