NYON, Switzerland – Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin mendakwa dua individu berpengaruh dari kelab Manchester United, Ed Woodward dan Andrea Agnelli dari Juventus sebagai perancang utama dalam penubuhan Liga Super Eropah (ESL).
Sebagai rekod, ESL telah diumumkan secara rasmi kelmarin dengan penganjurannya bakal menghimpunkan 12 pasukan gergasi di Eropah seperti Arsenal, United, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea, Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, Inter Milan dan AC Milan.
Kata Ceferin, ketika badan induk bola sepak itu berusaha untuk mengubah format saingan Liga Juara-Juara (UCL), ada beberapa pasukan telah membelot dengan melakukan komplot untuk menubuhkan saingan ‘haram’ yang tidak diiktiraf hanya kerana mahukan dana tambahan.
“Saya sudah berada lama dalam bola sepak tetapi tidak pernah berjumpa pembelot seperti Woodward. Secara jujur, saya telah berhubung dengannya pada minggu lalu untuk membincangkan tentang format Liga Juara-Juara Eropah dan bersetuju dengan keputusan itu tetapi dia tidak bercakap sedikit pun tentang penyertaan ESL.
“Sementara itu, Agnelli lebih teruk kerana dia adalah dalang daripada semua perkara ini, malah, dia telah berbohong kepada saya bahawa ESL hanyalah khabar angin pada Sabtu lepas sebaliknya kenyataan media rasmi telah dikeluarkan kelmarin,” katanya.
Sementara itu, UEFA telah mengesahkan format Liga Juara-Juara bermula musim 2024 akan berwajah baharu dengan penambahan penyertaan pasukan ke 36 berbanding 32 ketika ini.
Malah, saingan turut dilangsungkan dengan peringkat awal menyaksikan sembilan pasukan menyertai empat kumpulan sahaja berbanding format sedia ada iaitu lapan kumpulan musim ini.
– AGENSI