PETALING JAYA – Sunway Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Rahman Putra Sdn. Bhd. (Sunway Rahman Putra) menandatangani perjanjian jual beli bersama Mutiara Rini Sdn. Bhd., anak syarikat Boustead Properties Bhd. untuk memiliki tanah seluas 2.66 hektar di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.
Ia melibatkan pelaburan bernilai RM233.4 juta dengan cadangan pembangunan melibatkan apartmen perkhidmatan dan ruang runcit, melibatkan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangnya RM1.5 bilion.
Tanah berstatus pegangan bebas itu terletak di lokasi strategik berhadapan stesen MRT Cochrane, hanya satu hentian dari Tun Razak Exchange (TRX) dan mengukuhkan penawaran Sunway di kawasan tersebut yang kini termasuk Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO.
Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, pihaknya optimis terhadap potensi masa depan bagi kawasan berkenaan dengan pembangunan TRX yang bakal siap tidak lama lagi.
Melaluinya, ia membawa bersama populasi pekerja profesional dan berpendapatan tinggi.
“Kami boleh bayangkan mereka bakal mendiami cadangan pembangunan kami di sini, yang mana ia terletak hanya satu stesen dari TRX dan dilengkapi semua kemudahan pada nilai jauh lebih baik.
“Pasaran hartanah domestik telah melalui beberapa tahun yang mencabar, namun kami yakin dengan pemulihan ekonomi selepas Covid-19, permintaan akan kembali terutamanya di lokasi strategik seperti Cochrane, yang menggabungkan elemen kemudahan dan mampu milik.
“Kombinasi ini jarang didapati di lokasi tengah bandar dan kami yakin pembangunan bercampur ini akan menarik perhatian pelanggan kami dari pelbagai segmen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jumlah tanah Sunway kini adalah seluas 1,351 hektar dengan potensi nilai pembangunan kasar RM52.1 bilion untuk tempoh pembangunan lebih daripada 15 tahun, membuka jalan bagi pembangunan yang mampan.