IMOLA – Pemandu pasukan Williams, George Russell membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung insiden bersama Valtteri Bottas pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Imola Ahad lalu.
Pelumba kelahiran Britain itu mengakui bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku sehingga menyebabkan mereka gagal menamatkan perlumbaan tersebut.
Sebaik kemalangan berlaku, Russell dilihat pergi ke arah Bottas dan menampar topi kaledar selepas pelumba Finland itu menunjukkan isyarat menjengkelkan.
“Bukan hari terbaik untuk saya apabila terlibat dalam kemalangan seperti itu. Saya yakin ia adalah peluang terbaik untuk kami mengutip mata dalam saingan musim ini.
“Bagaimanapun, risiko yang saya ambil itu tidak membuahkan hasil dan perlu bertanggungjawab atas insiden berkenaan. Saya minta maaf kepada Valtteri (Bottas) serta pasukan atas tindakan tersebut,” kata Russell.
Pada masa sama, dia juga tekad untuk menjadikan insiden itu sebagai pengajaran selain percaya perkara seperti itu sukar untuk dielakkan dalam perlumbaan.
Terdahulu, ketua pasukan Mercedes AMG Mercedes, Toto Wolff memberi amaran kepada Russell atas tindakannya itu, lebih-lebih lagi dia memiliki kontrak jangka panjang bersama pasukan tersebut. – AGENSI