PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun memberitahu bahawa dia sudah pun bertemu dengan penyanyi Nabila Razali dan memohon maaf atas ciapan berunsur ‘sindiran’ yang ditulisnya terhadap persembahan lagu Peluang Kedua ketika Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Mac lalu.
Ujar Hafiz, Nabila menyambut baik niatnya untuk menjernihkan keadaan walaupun mengakui berasa sedikit janggal pada mulanya ketika bertemu penyanyi itu.
“Saya bertemu dengan Nabila dalam sebuah majlis dan terus mendekatinya untuk meminta maaf. Dia (Nabila) memberikan maklum balas yang baik dan cakap bahawa dia sentiasa akan memaafkan semua orang.
“Memang rasa agak janggal pada mulanya, namun saya memilih untuk mulakan dulu dan meminta maaf kepada Nabila berhubung ciapan saya sehingga membuatkan hatinya terguris,” kata Hafiz.
Sehubungan itu, pelantun lagu Mikraj Cinta itu tidak mahu hal tersebut dipanjangkan kerana sebelum ini hubungan mereka baik.
“Cuma mungkin pada malam itu, saya meletakkan diri sebagai penonton ketika mengkritik persembahannya,” ujar Hafiz.
Dalam pada itu, Hafiz menambah, Nabila ada meminta lagu daripadanya untuk single yang akan datang.
“Saya terbuka untuk berkolaborasi dengan Nabila. Cuma saya menasihatinya supaya mencari karya yang lebih besar atau setara dengan Peluang Kedua.
“Hal ini kerana apa yang Nabila sentuh (nyanyikan), akan menjadi,” katanya yang ingin melihat Nabila berjaya pada masa akan datang.
Terdahulu, pada 14 Mac lalu, Hafiz telah memuat naik satu ciapan yang berbunyi: “Peluang Kedua (merujuk kepada lagu Nabila Razali) adalah peluang yang teruk jika dibazirkan. Dan ia baru saja dibazirkan.”
Sejak insiden tersebut, ramai beranggapan bahawa hubungan Hafiz dan Nabila menjadi dingin.
Bagaimanapun, Hafiz memberitahu bahawa dia ada menghantar mesej peribadi kepada Nabila untuk memohon maaf selepas ciapannya menjadi viral dalam media sosial. – K! ONLINE