fbpx

Keistimewaan Gerimis Baiduri Batik milik Siti Noor Azini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NOOR AINI YUSOFF menunjukkan antara kain batik canting yang dihasilkannya di Kota Bharu, Kelantan.

KOTA BHARU – Menjadi usahawan yang berjaya bukanlah mudah, namun berbekalkan komitmen dan semangat, pemilik bengkel Gerimis Baiduri Batik, Siti Noor Azini Yusoff, 48, mampu tersenyum mengenangkan kejayaan dikecapi menerusi perniagaan diusahakan sejak 1995.

Akuinya, perjalanan perniagaan yang diusahakan itu melalui pelbagai liku lebih lagi dimulakan tanpa sebarang ilmu dan asas sebaliknya hanya membantu suami menguruskan perniagaan batik dilakukan secara kecil-kecilan.

“Hari ini, ramai mengenali produk batik diusahakan saya kerana lilin canting rona keemasan diberi jolokan emas 916 yang dihasilkan menggunakan bahan campuran rahsia diadunkan sendiri.

“Ini kerana, penghasilan batik lukisan tangan bergantung sepenuhnya pada penggunaan lilin canting selain warna dan corak batik itu sendiri,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaan batik miliknya di sini, baru-baru ini.

Mengimbas awal permulaan perjalanan perniagaannya, sambil menahan sebak, kata wanita yang mesra dengan panggilan Kak Azini, dia hampir putus asa untuk meneruskan hasratnya itu.

“Banyak kain terpaksa dibuang selain perlu mengeluarkan kos membeli bahan yang tinggi. Ada juga memandang rendah pada kemampuan saya menghasilkan batik lukis tangan.

“Tapi, dorongan suami dan hasil bimbingan seorang kenalan, kini koleksi batik lukisan tangan diketengahkan mendapat sambutan bahkan menerima tempahan dari kerajaan negeri dan koporat,” katanya.

Lebih membanggakan, batik lukisan tangan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records pada 2017 apabila menyiapkan cetakan batik kira-kira 300 meter (m) dianjurkan Majlis Belia Negeri Kelantan.

“Koleksi batik lukisan tangan saya juga mendapat permintaan untuk dijadikan pakaian seragam dan dipakai sempena satu persidangan khusus bagi pihak kerajaan di sini.

“Saya tidak pernah terfikir melalui pengalaman seperti ini kerana di awal permulaan perniagaan, saya hanya menjual kain di pasar malam dan pelanggan terdiri daripada kenalan rapat,” katanya.

Kini, pemilik jenama batik Gerimis itu mempunyai 10 pekerja dan menghasilkan ratusan kain setiap bulan sehinggakan adakalanya terpaksa menolak tempahan kerana kekangan stok batik.

Katanya, selain menghasilkan batik kain pasang jenama Gerimis turut dilengkapi dengan baju kaftan yang turut mendapat sambutan lebih lagi selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan dalam satu video tahun lalu berkenaan pemakaian baju kaftan di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seperti pengusaha lain, pandemik Covid-19 memberi impak yang dalam terhadap pendapatan, namun ia juga memberikan sinar baharu buat kami apabila kenyataan dikeluarkan itu melonjakkan jualan baju kaftan,” katanya.

Sebagai Sahabat AIM, kata Siti Noor Azini, dia ingin menambah pembiayaan untuk membesarkan lagi kilang pembuatan batik tangan diusahakan itu selain menghasilkan produk baharu untuk memberikan kelainan kepada jenamanya.

“Bagi membolehkan saya terus bersaing secara sihat dalam industri seni batik tangan ini, saya mahu meluaskan lagi perniagaan dengan menghasilkan koleksi tudung di samping membesarkan lagi bengkel.

“Pada masa sama, saya harap ia dapat membuka peluang pekerjaan kepada pelukis batik yang ada sekitar kawasan bengkel lebih lagi ketika ini individu yang berbakat kehilangan kerja,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI