JOHOR BAHRU – Pengarah serta syarikat pengimport daging sejuk beku yang disyaki terlibat dalam kegiatan kartel daging yang didedahkan tahun lalu akan didakwa esok.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan pendakwaan itu akan dilakukan di Mahkamah Sesyen di sini kira-kira pukul 8.45 pagi.
Menurut kenyataaan JKDM, syarikat sejuk beku bersama dua pengarahnya itu masing-masing akan berdepan dua pertuduhan.
“Pertuduhan akan dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan,”jelasnya.
Pada 9 Februari lalu, sebuah syarikat bersama dua pengarah dan pengurusnya, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku, awal Disember lalu.
Tertuduh, iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., pengarahnya Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas serta pengurus, Chong Kim Kuang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan dua tertuduh berkenaan serta seorang lagi yang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan persijilan halal Australia.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.
Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, yang menimbulkan kemarahan masyarakat Islam negara ini.
Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini.
Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.
Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.-K! ONLINE