JAKARTA – Kapal selam milik Angkatan Laut Indonesia (TNI) yang membawa 53 anak kapal disahkan hilang di perairan sekitar 60 batu di utara Bali, selepas menyelam ke dasar laut awal pagi ini.
Panglima TNI KRI Nanggala-402, Marsekal Hadi Tjahjanto mengesahkan berita mengenai kehilangan kapal selam buatan Jerman pada 1979 itu kepada laman berita Kompas.com.
Kapal itu dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan kira-kira 95 kilometer dari Bali utara sekitar pukul 3 petang waktu tempatan.
“Anak kapal meminta kebenaran untuk menyelam ke dasar dan setelah diberi izin, menara terputus hubungan dengan kapal tidak lama selepas itu,” kata Hadi.
Sesi mencari dan menyelamat telah pun dimulakan dengan Indonesia meminta bantuan daripada Singapura dan Australia yang mempunyai kemudahan kapal penyelamat kapal selam.
Setakat ini, kapal tersebut disyaki berada di dasar laut dengan kedalaman 700 meter ke bawah.
“Saya akan ke lokasi kejadian esok,” demikian menurut Hadi.
Bagaimanapun, wakil dari TNI mahupun Kementerian Pertahanan Indonesia belum mengeluarkan sebarang pengesahan berkenaan jumlah anak kapal yang berada dalam kapal selam tersebut.
KRI Nanggala-402 mempunyai kelajuan sehingga 21,5 knot dan boleh memuatkan 34 anak kapal.
Kapal selam itu dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi latihan menembak peluru berpandu di Laut Bali yang sepatutnya berlangsung esok. – Agensi