fbpx

Judi okey, asal jangan ‘tunggang’ bangsa, agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEBETULNYA, iklan raya promosi judi yang sedang meribut jadi bahan kecaman netizen dan menambah tugas sedia ada pihak berkuasa dalam tempoh seminggu pertama Ramadan tahun ini adalah ragam luar biasa yang akan jadi catatan hari ini dalam sejarah buat negara Malaysia.

Bosan barangkali dengan taktik Macau Scam atau Sugarbook untuk menjana wang segera, pasukan penunggang ‘bangsa’ beralih dengan pembikinan karya kreatif memanipulasi tradisi keterujaan orang Islam yang majoritinya berketurunan Melayu menjelang sambutan hari raya muncul dengan iklan raya judi online pula.

Tidak habis-habis kisah tular kehilangan usahawan popular Nur Sajat dan kronologi pencarian jutawan Datuk Seri Nicky Liow Soon yang lesap bersama duit berkepuk-kepuk, sekarang siasatan kes popular terarah ke dunia kreatif apabila pasukan produksi terbabit video menghina agama dan kesucian Ramadan mula diberkas dan disiasat.

Inilah ragam yang entah bila akan selesai. Semacam lagu pula, polis sentri, one two jaga, polis mati pencuri jaga. Penulis percaya, gerakan iklan lagu raya judi itu sekadar permulaan, selepas ini entah apa lagi akan muncul. Bukankah orang Malaysia sungguh kreatif.

Bercakap tentang judi, aktiviti tersebut cukup sinonim dengan masyarakat di mana sahaja. Di Malaysia, kita tahu di Genting Highland terdapat pusat judi atau kasino yang hanya mampu dikunjungi hanya golongan berduit.

Di kampung-kampung, ada orang berjudi dengan cara bermain sabung ayam. Dalam filem arahan U-Wei Saari, Jogho pula orang Melayu sanggup bermati-matian bahkan berbunuhan natijah kalah di gelanggang laga lembu.

Berlainan dengan drama 17 Puasa, geng plastik hitam yang dipaparkan Mamat Khalid tidak sanggup makan hidangan ‘yak yak yeay’ mereka hanya kerana dibeli dengan duit menang loteri. Lucu juga.

Pendek kata, judi sangat popular biarpun menyalahi agama. Jika tidak dilakukan di premis berlesen atau melibatkan sindiket, judi menjadi kesalahan! Jika tidak, sesiapa pun boleh berjudi secara ‘halal’.

Penulis teringatkan penganjuran sebuah konsert artis terkenal negara yang kononnya mendapat tajaan sebuah syarikat judi terkenal beberapa tahun lalu.

Kes tersebut menjerat profesionalisme anak seni dan mengheret pemain media ke kandang penghakiman sehingga pada satu ketika terasa seolah-olah etika kewartawanan sedang diinjak-injak pihak yang bermegah dengan pengaruh populariti yang dimiliki.

Pada akhirnya, insiden tersebut memberi impak emosi yang kuat buat semua yang terlibat. Sama juga dengan segelintir kru dan pelakon terbabit dengan iklan raya kotor sekarang, mereka mungkin menyesal atas kedangkalan sendiri.

Pembikinan iklan raya judi juga bukan lagi toksik dalam masyarakat, bahkan diabetes tahap potong kaki yang perlu dinyahaktifkan dari lanskap kreatif negara.

Selepas ini, apa lagi hal agama, budaya dan bangsa yang akan ditunggang untuk kepentingan laba semata-mata. Kalau sekarang lagu raya jadi alat promosi judi, jangan sampai nanti suatu hari, ibadah haji yang paling didambakan umat Islam pula jadi umpan kotor mereka. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI