fbpx

Hilang deria bau dan rasa, Sweet Qismina positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWEET kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak.

PETALING JAYA – Selepas beberapa hari tidak sihat dan mengalami kesukaran bernafas, pelakon Sweet Qismina mengesahkan dirinya dijangkiti wabak Covid-19 sebentar tadi.

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 24, memaklumkan perkara tersebut menerusi kenyataan akhbar daripada syarikat pengurusan Warner Music Malaysia yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Menurutnya, dia membuat ujian calitan pada Selasa lalu dan kini sedang menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak.

“Saya tidak sihat semasa menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak sejak 16 April lalu.

“Saya mengambil ubat selama tiga hari, tetapi belum pulih dan sukar bernafas. Menyedari keadaan kesihatan yang masih belum pulih, saya membuat ujian calitan di Hospital Columbia, Taiping dan keputusannya adalah positif.

“Saya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan membuat ujian saringan, keputusannya tetap positif. Selepas itu, saya dihantar pula ke Pusat Kuarantin Ipoh untuk dikuarantin.

“Saya tiada sebarang komplikasi, cuma hilang deria rasa dan bau,” katanya.

Dalam pada itu, Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH30) itu turut mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan yang banyak membantunya sepanjang proses rawatan di hospital.

“Kakitangan Hospital Kuala Kangsar menjaga saya dengan baik, sebelum dihantar ke Ipoh.

“Doakan semoga saya cepat sembuh daripada Covid-19,” katanya.

Dalam hantaran sama, pelakon drama Bidadari Salju itu turut menulis kapsyen berupa doa agar dihindari daripada penyakit berbahaya.

“Tuhanku, Tuhan manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan kerana Kau adalah Penyembuh. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Kau dengan kesembuhan yang tidak menyisakan rasa nyeri,” tulisnya.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Harris Anuar, Shima Anuar, Emma Maembong, Aepul Drama Band, Aeril Zafrel dan Aprena Manrose sebelum ini juga pernah disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI