fbpx

Guna susu sejat alas perut anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKIDI HAMID (kanan) melihat keadaan Muhamad Mustaqim selepas hadir menyampaikan sumbangan di rumah Noor Aini di Kampung Che Dol, Pasir Mas semalam.

PASIR MAS – Kesempitan hidup memaksa seorang ibu di Kampung Che Dol di sini menggunakan susu sejat sebagai ganti kepada susu formula khas untuk diberikan kepada anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Noor Aini Ya, 43, berkata, pilihan itu terpaksa dibuat sebagai alas perut kepada anak kelima­nya, Muhamad Mustaqim Mustapha,­ 8, memandangkan faktor kewangan yang dihadapi mereka.

“Pendapatan suami yang be­kerja sebagai buruh kasar tidak menentu ditambah pula musim pandemik Covid-19 ketika ini.

“Setiap kali berdepan masalah kewangan, saya terpaksa berbuat demikian. Harga satu tin susu formula mencecah hampir RM100 setin dan ia amat mahal buat kami sekeluarga,“ katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.

Menurut Noor Aini, lebih menyedihkan apabila mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut bagi memastikan keperluan Muhamad Mustaqim terjamin.

Noor Aini memberitahu, setiap bulan dia memerlukan perbelanjaan lebih RM1,500 untuk menguruskan anaknya yang menderita penyakit sakit saraf sejak berusia lima bulan.

“Anak saya menerima ban­tuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500, namun ia tidak cukup untuk menampung kos tersebut.

“Selain itu, saya dan suami turut diuji apabila anak kedua kami Muhamad Mukhzairi, 21, menghidap sakit buah pinggang sejak berusia lima tahun.

“Dia juga bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan untuk meneruskan kehidupan dan rawatan,” ujarnya.

Noor Aini berkata, dua lagi anaknya masih bersekolah manakala seorang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya lega apabila anak sulung kami yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Pulau Pinang turut membantu meri­ngankan beban,” katanya.

Terdahulu, Noor Ain mene­rima kunjungan daripada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Kelantan (KELSS) yang dike­tuai oleh Ketua Unit Komunikasi dan Medianya, Akidi Hamid.

Dalam kunjungan tersebut, KELSS menyampaikan sumba­ngan sebanyak RM10,500 me­rangkumi satu unit pendingin hawa, bekalan susu khas dan lampin untuk kegunaan Muhamad Mustaqim.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03-0270207592-24 atas nama Noor Aini Ya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI