fbpx

Dua pelajar ditahan palsukan borang rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Borang rentas negeri yang disyaki dipalsukan. Gambar Hiasan

BENTONG – Dua pelajar wanita sebuah kolej ditahan kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri dalam satu pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Bentong di sini kelmarin.

Pelajar masing-masing berusia 22 tahun termasuk seorang yang positif dadah jenis ganja itu turut memasukkkan maklumat palsu mengenai kolej pengajian mereka.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan di SJR itu kedua-dua wanita tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

“Ketika diperiksa dokumen perjalanan rentas negeri kedua-dua wanita itu pihak polis mendapati borang tersebut agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh kedua-dua wanita tersebut.

“Hasil siasatan awal pihak polis percaya cop dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit tersebut disyaki palsu dan dipercayai dibuat secara ‘scan’ dan tulisan turut dipinda,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyan 468 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan surat palsu yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tambahnya, bagi seorang suspek yang didapati positif dadah siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka juga didapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis daerah Bentong akan terus mengetatkan pemeriksaan di SJR antara negeri yang melibatkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.

Beliau memberitahu langkah itu penting dalam memastikan penularan wabak Covid-19 di negeri itu dapat dikawal apatah lagi Tol Bentong merupakan laluan utama ke Pantai Timur khususnya daripada Lembah Kelang.

“Polis mengingatkan orang ramai yang hendak membuat perjalanan rentas negeri agar tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang rentas negeri yang telah diubahsuai dengan niat memalsukan dokumen tersebut dan pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI