MELIHAT populariti dan kesempurnaan hidupnya, siapa sangka pelakon Dewi Sandra pernah terfikir untuk mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri. Emosi tersebut dirasainya selepas bercerai dengan bekas suami iaitu mendiang Glenn Fredly.
Ujar selebriti yang dilahirkan di Rio de Janeiro, Brazil itu, selepas perkahwinan kali keduanya berakhir, dia berasa sangat sedih sehingga terfikir untuk membunuh diri.
“Saya terfikir untuk membunuh diri dengan memandu kereta dan sengaja berlanggar dengan kenderaan lain.
“Waktu itu saya memandu dalam keadaan hujan lebat sambil menangis. Dalam fikiran saya waktu itu hanya mahu mati,” katanya.
Namun, niat tidak baik itu memberi pengajaran yang begitu berharga buat kehidupannya hari ini.
Usai bercerai, Dewi hanya berserah kepada Tuhan selepas menyedari keinginannya untuk membunuh diri ialah satu kesalahan.
“Saya kehilangan sesuatu. Pertama, saya kehilangan Tuhan. Jadi fokus kepada ibadah. Apa yang kamu lihat hari ini adalah satu bahagian penting dalam perjalanan hidup saya dengan kesalahan sebagai manusia bodoh dan lemah,” ujarnya.