PETALING JAYA – Penyanyi rap Caprice menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan seorang lelaki yang menjadi scammer menjual baju raya miliknya.
Menerusi status Instagram miliknya, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata kegiatan lelaki tersebut bukan hanya melibatkan penjualan baju raya, malah individu sama pernah menipu menjual ‘hoodie’ sebelum ini.
“Minta semua pihak yang pernah kena scam buat laporan polis dan berikan kepada saya, insha-Allah kita dapat tangkap dia dalam masa terdekat.
“Siapa yang ada info suspek dan berjaya tangkap scammer ini saya akan bayar anda RM5,000,” tulisnya.
Menurut Caprice, lelaki berkenaan menggunakan akaun Instagram @rindu_by_caprice untuk menipu mangsa.
Pada masa sama, Caprice turut memuat naik gambar lelaki yang disyaki sebagai scammer pada status di Instagramnya.
Selain gambar suspek, beliau turut memuat naik transaksi penipuan yang telah dilakukan dan juga akaun Instagram yang digunakan lelaki berkenaan.
“Saya memberi tempoh 24 jam kepada lelaki berkenaan untuk menghubungi saya semula,” kata Caprice.-K! ONLINE