BENTONG – Meskipun tidak dapat merentas negeri bagi mendapatkan bubur lambuk Kampung Baru penduduk khususnya petugas barisan hadapan di daerah ini tidak terlepas peluang menikmati keenakan bubur lambuk terkenal itu.
Melalui inisiatif Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh lebih 1,000 bungkus bubur lambuk Kampung Baru diedarkan kepada barisan hadapan, agensi-agensi kerajaan dan penduduk setempat di daerah ini.
Jasvir yang juga Pegawai Khas Menteri Besar berkata, sumbangan bubur lambuk berkenaan merupakan tradisi yang dilakukannya setiap Ramadan yang merupakan tahun keempat dilaksanakan kali ini.
“Saya faham dalam waktu pandemik ini tidak dibenarkan rentas negeri dan penduduk di sini tidak dapat pergi mendapatkan bubur lambuk dan sumbangan ini diharap menggembirakan mereka.
“Sumbangan ini juga adalah sebagai menghargai petugas barisan hadapan dan pelbagai agensi kerajaan serta sempena kedatangan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bubur lambuk Kampung Baru di sini semalam.
Bubur lambuk Kampung Baru itu diedarkan di pejabat-pejabat kerajaan, Sekatan Jalan Raya (SJR) dan juga di bazar Ramadan di daerah ini.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Yushahrizan Yusof, 4, berkata, dia amat teruja sekali apabila menerima bubur lambuk Kampung Baru yang amat diminatinya.
Dia memberitahu sejak pandemik Covid-19 melanda negera inilah kali pertama dia dapat kembali menikmati keenakan juadah bubur lambuk terkenal itu.
“Saya memang gemar bubur lambuk Kampung Baru dan tidak pernah terlepas menikmatinya pada bulan Ramadan termasuklah mendapatkannya di kampung Baru tetapi susulan pandemik Covid-19 saya tidak dapat merasa pada tahun lalu.
“Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit yang bermurah hati membawa bubur lambuk Kampung Baru dan memberikannya pula secara percuma hari ini,” ujarnya. – K! ONLINE