fbpx

Bayern tidak minat sertai ESL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYERN mahu terus kekal bersaing dalam kejohanan anjuran UEFA dan tidak berminat untuk bersaing dalam ESL yang bakal diwujudkan. – AFP

MUNICH – Kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich mengesahkan mereka tidak akan me­nyertai saingan Liga Super Eropah (ESL) yang dijangka memberi cabaran kepada kejohanan berprestij, Liga Juara-Juara pada masa depan.

Sebagai rekod, ESL telah di­umumkan secara rasmi kelmarin dengan penganjurannya bakal menghimpunkan 12 pasukan gergasi di Eropah seperti Arsenal, Manchester United, Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea, Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, Inter Milan dan AC Milan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ba­yern, Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan bahawa kelab itu sepakat untuk tidak me­nyatakan minat dengan saingan ESL ke­rana lebih yakin dengan kancah Liga Juara-Juara yang dianjurkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

“Bayern tidak terlibat dalam perancangan ESL dan tidak berminat pun untuk menyertai kejohanan itu. Ini kerana kami percaya dengan perancangan UEFA dalam usaha memastikan Liga Juara-Juara lebih berprestij pada masa depan.

“Malah, jika mereka katakan ESL itu memberi dana yang lumayan buat pasukan ketika era pandemik ini, saya langsung tidak bersetuju sebaliknya langkah yang tepat adalah mengurangkan gaji pemain dan wang imbuhan buat ejen pemain,” katanya.

Sementara itu, dua lagi kelab utama Bundesliga, Red Bull Leipzig dan Borussia Dortmund turut menyatakan pendirian yang sama bahawa pihak pengurusan sepakat untuk tidak memberikan sokongan kepada ESL yang dianggap penganjuran ‘haram’.

“Kami tidak akan memberi sebarang kerjasama mengenai penganjuran ESL ketika ini atau masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Leipzig, Oliver Mintzlaff yang turut dipersetujui oleh rakan sejawatnya di Dortmund, Hans Joachim Watzke. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI