ARAU – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM12,299 termasuk cukai selepas menyerbu sebuah premis menjual rokok elektronik (vape) di Jalan Arau – Kodiang, Guar Sanji di sini semalam.
Serbuan di premis yang terletak di deretan bangunan kedai itu dilakukan anggota Aksem Chuping kira-kira pukul 5.50 petang.
Bekalan mercun dan bunga api tersebut yang disyaki diseludup dari Thailand dipercayai untuk pasaran negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat mengenai penyeludupan mercun di kawasan berkenaan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang mengaku sebagai pemilik kedai berada di premis ketika serbuan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api antaranya jenis moontravel, thunderclap, happy boom dan mercun papan yang disembunyikan di bilik tidur,” katanya di sini hari ini.
Katanya, Aksem bertindak menahan lelaki terbabit dan merampas kesemua mercun bernilai RM7,687 dengan cukai sebanyak RM4,612.20 sebelum dibawa ke Kompleks Aksem Chuping untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE