IMOLA – Pemandu Red Bull, Max Verstappen mengakui dia bernasib baik kerana memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari di Imola, Itali kelmarin.
Verstappen yang terpaksa memulakan perlumbaan di petak ketiga, bermula dengan cemerlang apabila terus memimpin perlumbaan seawal pusingan pertama.
Bagaimanapun, pelumba dari Belanda itu berkata, jenteranya hampir terbabas ketika kereta keselamatan keluar dari litar selepas berlakunya kemalangan.
“Satu perlumbaan yang sangat sukar dan bukan senang untuk memastikan jentera kekal berada di atas litar kerana keadaan litar yang sangat licin akibat hujan.
“Saya fikir kami mengendalikan perlumbaan ini dengan sangat baik walaupun ada insiden kecil pada awal saingan. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.
Tambah Verstappen, dia langsung tidak menjangka boleh memimpin perlumbaan seawal pusingan pertama kerana bermula di kedudukan belakang.
“Saya juga terkejut dengan prestasi jentera kerana tahun lepas kami agak bergelut pada awal perlumbaan. Saingan musim ini pasti sukar tetapi kami tetap tenang,” ujarnya. – AGENSI