fbpx

Program Rakan Strategik tingkatkan pendapatan masyarakat luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD. LATIFF (depan, lima dari kiri) dan Tun Mahathir (depan, empat dari kiri) selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Rakan Strategik KPLB di Masjid Al-Ehsan, Temonyong, Langkawi baru-baru ini.

LANGKAWI – Program Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar menerusi pembangunan dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan.

Inisiatif KPLB yang bermula sejak dua tahun lalu itu dilakukan dengan sokongan serta kerjasama syarikat korporat dan swasta melalui konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Perkongsian strategik dan kerjasama itu bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar menerusi aktiviti ekonomi.

Ia juga dapat memberi peluang kepada peserta program untuk menambah pendapatan sekali gus meningkatkan kuasa membeli penduduk yang tinggal di kampung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, sebanyak 14 syarikat korporat dan swasta termasuk pihak universiti telah melaksanakan aktiviti atau memberi sumbangan sepanjang program tersebut dijalankan di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Bagi negeri Kedah, sebanyak 12 buah syarikat dan universiti yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti atau CSR di dua daerah terpilih iaitu Baling dan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan dan penghargaan sumbangan rakan strategik KPLB di Masjid Al-Ehsan, Temonyong di sini baru-baru ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi; Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Menurut Abd. Latiff, syarikat lain yang terlibat dalam program berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Boustead Holdings Berhad, Yayasan MRCB, Export Import Bank of Malaysia (Exim Bank), Celcom Axiata Berhad dan Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd.

“Institusi pengajian tinggi yang terlibat pula adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Multimedia, Universiti Kuala Lumpur, Srikandi Skills College selain Halal Development Corporation dan Jabatan Laut Malaysia,” jelasnya.

Abd. Latiff menerangkan, antara aktiviti yang dilakukan adalah sumbangan kios dan ruang perniagaan oleh MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan anggaran jualan kira-kira RM100 sehari.

“Sumbangan 22 unit komputer untuk kegunaan 569 pelajar Sekolah Kebangsaan Temonyong oleh Exim Bank pada 29 Ogos 2019 serta program peningkatan pendapatan, naik taraf bilik jahitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan meratakan tapak projek serai oleh TNB,” katanya.

Terbaharu, jelas beliau, rakan strategik TNB dan Berjaya memberi sumbangan kepada Kemas.

“Sebanyak 14 unit mesin jahit lurus, dua unit mesin jahit tepi dan dua unit steam press telah diserahkan oleh Berjaya kepada Bengkel Jahitan Kemas di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Langkawi.

“TNB pula menyumbang dana sebanyak RM90,000 bagi menaik taraf bengkel jahitan Kemas serta pendingin hawa,” katanya.

Kata beliau, KPLB sedang dalam proses menyediakan platform digital untuk perkongsian maklumat bagi memudahkan pengesanan kumpulan sasar bagi program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Berjaya, Datuk Seri Zurainah Musa berkata, pihaknya berasa gembira melihat peserta program mendapat manfaat daripada sumbangan yang diberikan.

“Melalui bantuan ini, terdapat peserta program yang mampu mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM500 sebulan dan nilai itu dianggap pencapaian yang baik bagi mereka yang tinggal di luar bandar,” ujarnya.

Tambah beliau, sumbangan dalam bentuk mesin jahit lurus, mesin jahit tepi bernilai kira-kira RM60,000 itu disalurkan terus kepada KPLB sebelum diserahkan kepada Bengkel Jahitan Kemas di Langkawi dan Baling.

 

Peserta tambah ilmu menjahit dalam suasana selesa

LANGKAWI – Para peserta Bengkel Jahitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Langkawi di sini gembira dan bersyukur kerana berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dalam jahitan seterusnya menambah pendapatan keluarga.

Peserta bengkel jahitan, Noor Azizah Ramdzal, 39, berkata, tukang jahit sepertinya perlu sentiasa menaik taraf kemahiran menjahit dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini saya pernah belajar di Giat Mara tetapi sudah lama dan saya memerlukan ilmu baharu dalam jahitan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Jahitan Kemas di PKM Langkawi baru-baru ini.

ABD. LATIFF (kiri) meninjau Bengkel Jahitan Kemas di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Langkawi.

Dia dan peserta lain bersyukur kerana mendapat manfaat daripada bengkel jahitan yang disediakan Kemas dengan kemudahan dan peralatan lengkap disumbangkan syarikat swasta menerusi Program Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ini.

Menurut Azizah, dia telah menerima tempahan jahitan baju untuk Hari Raya Aidilfitri ini dan jumlahnya meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Jika hari biasa, saya terima tempahan jahitan sehingga enam pasang seminggu dan pada bulan Ramadan ini, ia meningkat dua kali ganda.

“Selain jahitan baju, tempahan untuk pindaan baju juga meningkat yang mana ia turut menyumbang kepada pendapatan tukang jahit,” tambahnya.

Pada majlis penyerahan dan penghargaan sumbangan Rakan Strategik KPLB di Masjid Al-Ehsan, Temonyong di sini baru-baru ini, Berjaya Corporation Berhad telah menyumbangkan sebanyak 14 unit mesin jahit lurus, dua unit mesin jahit tepi dan dua unit steam press kepada Bengkel Jahitan Kemas di PKM Langkawi.

TNB pula menyumbang dana sebanyak RM90,000 bagi menaik taraf bengkel jahitan Kemas serta dalam bentuk peralatan seperti pendingin hawa.

Seorang lagi peserta bengkel jahitan, Rushila Rahani, 38, berkata, cara pengajaran di bengkel jahitan Kemas lebih mudah difahami dan membolehkannya untuk menyiapkan tempahan dengan lebih cepat.

Jelasnya, walaupun pernah belajar di Giat Mara, tetapi pada waktu itu dia belum berani mengambil tempahan dan cuma menerima tempahan pindaan baju sahaja.

“Sejak menyertai bengkel jahitan di Kemas pada 2019, saya mampu menyiapkan lebih banyak tempahan, tambahan pula Kemas ada menyediakan peralatan yang cukup untuk menyiapkan tempahan.

“Kini ada pula mesin-mesin baharu seperti steam press yang digunakan untuk menekap manik yang boleh menambah nilai tempahan,” katanya.

Ujarnya, dia kini mampu menjana pendapatan sehingga RM1,500 sebulan melalui hasil tempahan jahitan yang mana ia lebih dua kali ganda berbanding RM600 sebulan sebelum ini.

Peserta, Zarah Hanim Hikeman Hakim, 44, yang menyertai bengkel jahitan Kemas sejak tahun lalu berkata, dia menyertai bengkel tersebut bagi mengingatkan semula ilmu jahitan kerana dia pernah menuntut ilmu jahitan di Institut R&R Fashion, Alor Setar pada tahun 1998. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI