PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan bermula esok sehingga 4 Mei depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.
“KKM hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Maahad berkenaan dan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 243 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 97 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Sarawak seperti yang dijadualkan esok.
“KKM telah melaksanakan 532 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya 365 kes positif Covid-19 direkodkan.
“KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes, kluster adalah terkawal dan tiada lagi sampel menunggu keputusan manakala kes terakhir telah dilaporkan pada 16 April lalu iaitu sebanyak dua kes,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, katanya, PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, Sarawak juga akan ditamatkan pada 23 April ini.
“Sepanjang tempoh itu, sejumlah 103 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada keseluruhan 485 ujian saringan yang telah dilakukan oleh KKM.
“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal dengan kes terakhir telah direkodkan pada 15 April 2021 iaitu tujuh kes,” ujarnya. – K! ONLINE