SEBERANG PERAI – Minyak sawit yang dibawa oleh sebuah lori tangki melimpah keluar apabila tangkinya bocor selepas kenderaan itu hilang kawalan dan melanggar Plaza Tol Juru, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Bukit Mertajam di sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.05 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi.
“Ketika bomba tiba, terdapat kebocoran minyak masak pada sebuah lori tangki muatan 20,000 liter disebabkan lori tangki tersebut telah melanggar tiang sisi plaza tol.
“Pemandunya iaitu lelaki berusia 50-an mengalami kecederaan ringan pada kaki dan dikejarkan ke hospital,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jurucakap itu berkata, pihaknya bersama pasukan pengendali lebuh raya menjalankan kerja-kerja menghentikan kebocoran berkenaan dan pembersihan di kawasan tumpahan minyak tersebut sehingga selesai.
Menurutnya, operasi oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu ditamatkan pukul 1.30 petang.
Sementara itu, menurut laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia, kejadian itu menyebabkan aliran trafik ke arah utara perlahan sejauh kira-kira 3 kilometer. – K! ONLINE