KUALA TERENGGANU – Kerajaan bercadang untuk menambah permit import (AP) ayam sekiranya golongan penternak masih berdegil untuk menurunkan harga barang basah itu yang kini dijual sehingga RM10 sekilogram di pasaran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang menguruskan AP tersebut.
Menurutnya, langkah itu penting sebagai jalan penyelesaian dalam mengatasi kenaikan harga ayam secara mendadak sejak kebelakangan ini yang membebankan pengguna terutama menjelang musim perayaan.
“Penambahan AP ayam akan dilaksanakan jika golongan penternak masih berdegil (untuk menurunkan harga) dan menangguk di air yang keruh.
“Syarikat pemegang AP boleh import ayam untuk memenuhi permintaan. Lambakan ayam import ini akan meningkatkan penawaran sekali gus menstabilkan semula harga,” katanya selepas meninjau harga barangan keperluan di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.
Rosol berkata, dalam tinjauannya itu, beliau mendapati, harga ayam di pasaran rata-rata sudah mencecah RM10 sekilogram dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi kenaikan jika tiada tindakan diambil.
Katanya, setakat ini sebanyak 42 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap 25 pemborong dan 17 penternak di seluruh negara kerana menaikkan harga ayam secara tidak munasabah.
“Saya menerima banyak aduan daripada peniaga tentang kenaikan itu disebabkan harga tinggi yang dikenakan pembekal, namun pembekal pula mendakwa mereka beli ayam pada harga tinggi dari ladang,” ujarnya.
Namun, katanya, pihak pengeluar ayam pula memberi alasan terpaksa menaikkan harga berikutan dedak semakin mahal.
“KPDNHEP akan menyiasat sendiri ke ladang-ladang bagi memastikan kebenaran dakwaan itu atau ia sekadar manipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapat lebih untung,” katanya.
Rosol memberitahu, pihaknya akan menyiasat kemungkinan wujudnya pembabitan kartel dalam industri bekalan ayam di negara ini sehingga harganya seolah-olah dimanipulasi terutama ketika musim perayaan.
“Harga makanan naik sekali sahaja, tetapi harga ayam pula naik sampai tiga kali dalam tempoh seminggu, ini ada sesuatu yang tidak kena dan kami akan siasat,” ujarnya.
Pada 14 April lalu, Kosmo! melaporkan keluhan kebanyakan pengguna di beberapa negeri ekoran kenaikan harga ayam secara mendadak yang mencecah RM10 sekilogram sehingga menimbulkan keresahan mereka. -K! ONLINE