PETALING JAYA – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan harga beberapa barangan lain menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Katanya, kelewatan pengumuman harga barangan itu menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 akan terus membebankan rakyat ketika ini.
“Apa lebih membimbangkan ialah SHMMP 2021 yang baru diumumkan akan dikuatkuasakan bermula 21 April dan hanya melibatkan 12 barangan kritikal.
“Adakah wajar untuk membiarkan rakyat terus terhimpit sementara menunggu kerajaan menyenaraikan barangan lain dalam skim tersebut, kenapa perlu menunggu hari perayaan untuk berbuat demikian,” katanya.
Katanya, punca kenaikan harga barangan disebabkan oleh peningkatan permintaan melebihi penawaran.
“Adakah ini bermakna bekalan makanan negara tidak mencukupi? Dan jika mencukupi, berapa lama ia akan bertahan?
“Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli,” jelasnya.
Susulan itu, Mohamad Hasan meminta kerajaan untuk menghentikan tindakan reaktif sebaliknya lebih proaktif dalam mengawal harga barangan asas supaya rakyat tidak terus terbeban.
“Kerajaan mesti segera menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia yang bermatlamat meringankan kos sara hidup khususnya golongan B40,” ujarnya. – K! ONLINE