PORT DICKSON – Transformasi yang dilaksanakan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) telah berjaya melonjakkan nama badan tersebut ke peringkat yang lebih baik.
Ketua Pengarah Kagat, Mejar Jeneral Datuk Nawawi Daud berkata, melalui Jawatankuasa Induk Penerapan Nilai-nilai Islam (Jipnim), pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 43 isu yang dilihat selari dalam transformasi hala tuju dan kematangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, pihaknya telah menyelaras tradisi tentera dan kehendak agama.
Sebagai contoh, kini seramai 99 peratus anggota wanita Kagat telah memakai tudung.
“Jika sebelum ini kami tidak berapa fokus kerana Kagat hanya membuat beberapa isu secara rambang sahaja.
“Bagi teras kedua pula adalah keanggotaan organisasi dari segi sahsiah mereka, ketrampilan ilmu yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa. Mereka ini dianggap sebagai ejen perubahan dalam karektor mereka sebagai guru agama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Hari Kagat ke-36 di Dewan Tan Sri Abdul Hamid, Institut Latihan dan Kefahaman Islam (Ilmi) dekat sini baru-baru ini.
Menurut Nawawi, selain pemakaian tudung, melalui jawatankuasa berkenaan juga, mereka telah menukar beberapa acara seperti tepung tawar dan acara kalungan bunga di tugu pahlawan menjadi majlis doa selamat.
“Kami melihat ia cukup harmoni apabila dapat memberi perubahan sedikit demi sedikit dalam kor ini. Kami berharap transformasi yang berlaku membolehkan ATM dipandang tinggi dan tidak melanggar akidah,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, Kagat juga telah melancarkan perancangan strategik bagi tempoh lima tahun pada 18 Februari lalu yang sekali gus dilihat dapat melonjakkan Kagat ke peringkat yang lebih baik.
“Ia termasuk dua teras iaitu pemantapan kerohanian dan keutuhan organisasi. Ia melalui 16 strategi dan 68 insiatif untuk melonjakkan Kagat selari dengan kehendak ATM dan kami kini memfokuskan kepada pembangunan spritual.
“Dua teras ini telah dijadikan sistem pengurusan strategik yang dilancarkan hari ini. Ia sekali gus memberi harapan ia menjadi panduan kepada generasi akan datang untuk menguruskan Kagat seiring dengan kehendak ATM,” katanya.
Selain daripada itu, jelas Nawawi, Kagat juga akan melancarkan buku profail Kagat yang menyentuh tentang seorang anggota Kagat yang baik ciri-ciri keterampilan, kemahiran dan sikap hidup.
“Menjadi seorang anggota Kagat yang baik, seseorang itu perlu memastikan dia mempunyai profail yang baik. Selain itu, profail berkenaan boleh dijadikan ukuran untuk kenaikan pangkat bagi anggota Kagat yang paling memenuhi kriteria.
“Kami mengemukakan juga empat fokus utama iaitu pengukuhan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, penghayatan solat, penamaan baik bacaan al-Quran dan juga pengukuhan akhlak dan integriti yang dikatakan sebagai transformasi Kagat,” katanya.
Dalam pada itu, Nawawi berharap supaya apa yang diusahakan oleh Kagat ini dapat diterima seluruh warga ATM sebagai sebahagian keperluan anggota tentera sendiri.
“Kami mengambil bahagian dalam pembangunan spiritual dan pemantapan kerohanian dan melahirkan ‘spritual combat power’ atau dikenali sebagai kuasa tempur kerohanian.
“Elemen inilah digunakan pada generasi Islam yang lampau untuk menang dalam peperangan,” katanya lagi.