SUNGAI PETANI – Seorang jururawat maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Sungai Batu-Merbok di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Siti Asmah Abdul Latif, 41, dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli ubat untuk anaknya yang demam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, mangsa seorang jururawat di Klinik Kesihatan Merbok yang menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari arah Sungai Batu menghala Taman Lembah Bujang di Merbok.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu laju dari arah bertentangan masuk ke laluan mangsa secara tiba-tiba.
“Kenderaan pacuan empat roda tersebut kemudian merempuh motosikal ditunggang mangsa secara berhadapan sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas ke dalam tali air manakala motosikal mangsa rosak teruk,” katanya di sini hari ini.
Katanya, penunggang motosikal maut serta merta di lokasi kemalangan sementara pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 20 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk menerima rawatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Forensik HSAH untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – K! ONLINE