Oleh SUBKHI SUDARJI
SKUAD Harimau Malaya sudah boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada aksi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan selepas menerima suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Putrajaya semalam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pengambilan vaksin itu membabitkan 38 pemain Harimau Malaya dengan selebihnya terdiri daripada barisan kejurulatihan serta kakitangan badan induk bola sepak itu.
Justeru, Hamidin melahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan kemungkinan pengambilan dos kedua pada 10 Mei depan sebelum berlepas ke Dubai pada 20 Mei.
“Terima kasih juga kepada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Menterinya, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba kerana membantu Harimau Malaya untuk menerima vaksin awal sebelum ke luar negara bagi mengharungi aksi persahabatan dan kelayakan.
“Harap semua baik selepas dapat suntikan dan kita sama-sama berdoa agar pemain dan pegawai mendapat manfaat vaksin ini,” katanya selepas selesai menerima dos pertama semalam.
Hamidin, menjadi penerima suntikan pertama dalam kontinjen bola sepak negara diikuti jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd. Radzak pada program yang berlangsung di Dewan Seri Seroja, Jalan Diplomatik 2/2, Diplomatik Presint, Putrajaya.
Harimau Malaya akan berlepas ke Dubai pada pertengahan bulan depan bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan sebelum mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Beliau berkata, kira-kira 50 daripada 78 pemain dan pegawai Harimau Malaya hadir ke program tersebut, dengan bakinya akan disuntik pada Khamis ini.
“Ada beberapa pemain yang tidak sempat untuk mengambil vaksin hari ini, tetapi mereka dijangka akan hadir di sini pada Khamis nanti.
“Saya fikir, vaksin ini melampaui bola sepak. Semua perlu dapatkan vaksin. Sudah tentu kami akan tampil lebih yakin,” katanya.
Menurutnya, FAM menyenaraikan 38 pemain untuk divaksinkan bagi memudahkan Cheng Hoe memilih senarai akhir yang akan dibawa ke Dubai untuk perlawanan persahabatan menentang Kuwait pada penghujung Mei depan.
“Ini penting untuk pemain, pegawai dan jurulatih yang akan pergi ke luar negara kerana mereka lebih yakin kerana lebih elok berlepas ke luar negara sekali gus bagus untuk moral masing-masing.
“Setakat ini, Cheng Hoe akan pantau dahulu mana pemain yang akan dibawa, jadinya selepas Raya Aidilfitri nanti akan umum senarai akhir pemain,” tegasnya.