SEPANG – Video memasak di tempat terbuka seakan-akan di ‘bazar Ramadan’ yang tular dan dikongsikan oleh netizen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanyalah gimik semata-mata.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, gimik memasak dan promosi itu dilakukan salah satu gerai dan minuman yang beroperasi di Terminal KLIA 1 iaitu Eraman Mini Cafe.
Jelas MAHB, aktiviti memasak di kawasan terbuka bangunan adalah dilarang mengikut peraturan dalam Manual Keselamatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang yang tidak membenarkan dapur api terbuka atau plat panas elektrik digunakan di dalam bangunan terminal.
“Kafe ini hanya mengadakan gimik yang mensimulasikan memasak hidangan tradisional Melayu ‘gulai kawah’ dengan meletakkan kuali di atas dapur tanpa pembakar gas tetapi hanya dengan alat pemanasan menggunakan bahan bakar pemanasan hidangan yang dikenali sebagai gel Sterno.
“Ia sebahagian daripada usaha promosi sempena bulan Ramadan di mana kafe tersebut menawarkan hidangan dan pengalaman seperti ‘bazar Ramadan’ untuk menarik lebih banyak pelanggan ke gerai.
“Semua hidangan dimasak dan disediakan di lokasi berasingan dan dibawa ke Eraman Mini Cafe menjelang waktu gerai dibuka,” katanya.
Menurut MAHB, Eraman Mini Cafe mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan setiap pelanggan diberi nombor untuk memastikan kapasiti maksimum kafe tidak dilanggar.
“Kami berharap dengan pernyataan ini dapat memberi penjelasan dan kami ingin menyakinkan semua penumpang dan pelanggan bahawa keutamaan kami adalah keselamatan,” katanya.
Terdahulu, satu video tular mengenai bazar Ramadan yang memaparkan pengusaha gerai memasak di kawasan terbuka dalam bangunan terminal KLIA. – K! ONLINE