fbpx

Guru mesti daftar MySejahtera untuk terima suntikan vaksin – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin (kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman (dua dari kanan) melawat warga emas pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Melaka Tengah bagi fasa 2 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Tun Ali Bukit Katil, Melaka. - FotoRASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Para guru tetap perlu membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula semalam.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun kerajaan telah bersetuju memberi keutamaan kepada golongan itu, data pendaftaran tersebut diperlukan untuk diselaraskan dengan senarai Kementerian Pendidikan.

Jelasnya, senarai penerima itu sedang disiapkan untuk dimasukkan ke dalam sistem agihan vaksin sebelum guru terbabit diberikan tarikh bagi menerima suntikan.

“Saya sedang menunggu senarai penerima tersebut daripada Kementerian Pendidikan iaitu melibatkan kira-kira 500,000 guru.

“Bagaimanapun para guru ini mesti mendaftar di MySejahtera, kita akan masukkan nama mereka dalam keutamaan untuk senarai penerima suntikan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan sempena PICK fasa kedua di Dewan Tun Ali di sini hari ini.

Semalam beliau mengumumkan, lebih 500,000 guru di sektor pendidikan awam dan swasta akan disenaraikan sebagai penerima vaksin dalam fasa dua PICK yang bermula semalam.

Khairy berkata, setakat ini seramai 11,902 daripada 54,537 guru yang mempunyai penyakit kronik telahpun menerima suntikan dos pertama, manakala selebihnya akan diberikan suntikan vaksin Covid-19 itu pada bulan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada petugas barisan hadapan (frontliners) telah menerima dos pertama pada fasa pertama.

“Kita akan selesaikan sepenuhnya vaksinasi kepada frontliners pada bulan ini, baki yang tinggal telah terima dos yang pertama dan sedang menunggu untuk melengkapkan dos kedua,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI