PARIS – Sebanyak 12 pasukan gergasi Eropah mengumumkan sudah bersetuju untuk mewujudkan saingan Liga Super Eropah (ESL) yang dijangka mampu mengubah landskap bola sepak Eropah.
Enam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester City, Manchester United, Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur adalah antara pasukan yang sudah menyatakan persetujuan.
Mereka akan disertai enam gergasi Eropah yang lain seperti Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, Inter Milan dan AC Milan.
Pengerusi ESL, Florentino Perez berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu tersebut.
“Peminat bola sepak di seluruh sentiasa mendambakan aksi berkualiti untuk ditonton, jadi inilah inisiatif kami untuk menyajikan permainan berkelas dunia kepada mereka,” kata beliau.
Difahamkan, setiap pasukan bakal menerima habuan yang sangat lumayan dengan menyertai liga itu apabila dikatakan menerima bayaran sehingga £3.02 bilion (RM17.3 bilion) secara one-off.
“Satu liga yang disertai kelab-kelab terbaik dunia sudah pasti akan membuka satu lembaran baharu buat arena bola sepak Eropah. Saingan sepanjang musim pasti akan menarik,” kata Naib Presiden ESL, Joel Glazer. – AGENSI